Thursday, October 28, 2010

Keselamatan pekerja di jalan raya



TRAGEDI kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan sempadan Negeri Sembilan dan Melaka yang mengorbankan 13 nyawa dan mencederakan 40 yang lain baru-baru ini adalah satu tamparan kepada usaha kita untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Saya turut berkongsi kesedihan yang di tanggung oleh keluarga mangsa korban.


Seperti lazimnya satu siasatan akan di jalankan untuk mengenal pasti punca tragedi ini. Kerisauan saya yang amat sangat ialah adakah pengusaha pengangkutan awam dan pihak bertanggungjawab yang lain telah mengambil iktibar atau belajar daripada tragedi buruk sebelum ini untuk mencegah kehilangan nyawa dan kecederaan serius.


Setiap kali tragedi berlaku, kita melihat jari dan mendengar pelbagai siasatan dijalankan tetapi sudahkah kita belajar darpada pengalaman pahit itu dan melaksanakan cadangan-cadangan yang diajukan. Setakat mana pengusaha pengangkutan awam mengguna pakai pendekatan proaktif pengurusan risiko pekerjaan jalan raya (Occupational Road Risk) yang boleh membantu mencegah lebih banyak tragedi di jalan raya kita daripada terus berlaku.


Majikan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengadaptasi pendekatan proaktif pengurusan risiko pekerjaan jalan raya.


Dalam mencapai matlamat keselamatan jalan raya kebangsaan, iaitu sasaran menurunkan 40 peratus kadar kemalangan maut di Malaysia dalam jangka masa lima tahun dan membantu mengurangkan kadar semasa sebanyak 4.9 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan kepada 3 kematian pada 2010 dan 2 kematian pada tahun 2020, majikan perlu melakukan semua yang perlu dan praktikal bukan sahaja untuk menjamin keselamatan jalan raya kepada pekerjanya malah kepada penumpang dan orang ramai.


Majikan perlu mengambil tanggungjawab merubah sikap pemandu dan tingkah laku pekerja. Mereka mesti memastikan pengunaan kenderaan yang selamat, menyediakan latihan kepada pemandu untuk mencegah kemalangan jalan raya di samping memastikan bahawa pemandu yang mempunyai rekod buruk tidak dibenarkan memandu sama sekali.


Majikan juga mempunyai tugas untuk melindungi pekerja dan penguna jalan raya lain dengan menguna pakai pendekatan pengurusan risiko jalan raya untuk mengawal kerugian ketara ke atas perniagaan akibat kemalangan ketika bertugas termasuk bukan sahaja kerugian secara langsung kos kemalangan tetapi juga kehilangan masa kakitangan, kadar premium insurans yang tinggi dan gambaran terhadap orang ramai.


Tiada suatu perniagaan yang sanggup membiarkan prestasi keselamatan kenderaan perniagaan mereka bergantung kepada nasib. Wang dan nyawa boleh berada dalam keadaan bahaya. Setiap perjalanan harus menjadi suatu perjalanan yang terurus dan bukannya suatu yang diambil sambil lewa atau berserah kepada nasib.


Melainkan suatu organisasi itu merancang untuk menguruskan risiko pekerjaan di jalan raya dan juga memantau setiap urusan tersebut, organisasi itu mungkin perlu membayar premium insurans yang sangat tinggi.


Sumber-sumber yang sepatutnya digunakan untuk mendatangkan keuntungan kepada perniagaan mungkin terpaksa dibelanjakan dalam mengendalikan urusan setelah berlakunya kemalangan.


Pesanan ini adalah jelas iaitu uruskan risiko pekerjaan di jalan raya agar perniagaan anda dapat terus mengaut keuntungan. Majikan harus sentiasa menaksir kepiawaian keselamatan jalan raya organisasi mereka.


Syarikat yang mengambil tindakan untuk mempromosikan keselamatan kakitangan mereka sewaktu memandu akan mencapai penjimatan kos yang besar, mempertingkatkan imej dan menyumbang secara signifikan kepada pencapaian matlamat keselamatan jalan raya.


Majikan yang prihatin terhadap keselamatan dan kebajikan pekerja mereka juga dapat membantu menangani masalah kemalangan semasa perjalanan dengan cara-cara berikut:


* Mengadakan suatu polisi bertulis yang mewajibkan pemandu bas ekspres supaya mengikuti latihan pemanduan selamat dan penggunaan ciri-ciri kenderaan selamat.


* Mengendalikan pemeriksaan ke atas pemandu-pemandu prospektif sebelum mereka diambil bekerja, khasnya berkenaan salah guna dadah. Melakukan pemeriksaan secara rambang terhadap semua pemandu bas untuk mengelakkan isu penagihan dadah.


* Memastikan bahawa semua pemandu bas mematuhi had kelajuan yang ditetapkan di jalan raya dan lain-lain peraturan jalan raya.


* Memastikan dan mengadakan prosedur bertulis yang berkenaan dengan penyelenggaraan semua kenderaan yang dimiliki oleh majikan.


* Mengadakan jadual dan menghadkan waktu perkhidmatan pemandu mengikut peraturan. Jangan biarkan pekerja memandu dalam keadaan keletihan.


* Memastikan semua pemandu bas dibayar gaji berpatutan agar mereka tidak terpaksa memandu bas untuk mendapat gaji yang lebih tanpa menghirau keselamatan diri dan penumpang.


* Mewujudkan budaya kerja selamat dan sihat di kalangan semua pemandu bas ekspres melalui penerapan nilai-nilai keselamatan dan kesihatan pekerjaan.



TAN SRI LEE LAM THYE

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH)

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA


No comments:

Post a Comment